akibat cinta ditolak lelaki sanggup tikam kekasih sehingga maut



Petaling Jaya: Berang lamaran berkahwin ditolak menyebabkan seorang lelaki membelasah wanita itu sebelum menikam mangsa sehingga mati di asrama pekerja di Jalan SS21/39, di sini.

Dalam kejadian jam 4.30 petang kelmarin, mangsa warga Myanmar berusia 26 tahun ditemui terbaring berlumuran darah akibat dirodok menggunakan pisau.

Kejadian dikatakan berlaku ketika mangsa sedang berehat di asrama itu bersama suaminya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, suspek berusia 31 tahun yang juga rakan sekerja mangsa sebelum ini pernah melamar wanita itu untuk berkahwin dengannya.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun menolak lamaran suspek secara baik dan berkahwin dengan lelaki lain.

“Tindakan itu menyebabkan suspek marah dan menyimpan dendam. Suspek dikatakan bertindak menceroboh asrama itu sebelum menyerang mangsa.

“Suspek kemudian menyusup masuk ke bilik mangsa menyebabkan berlaku pergelutan antara suspek dan mangsa,” katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro semalam.

Menurutnya, suspek menikam mangsa menggunakan pisau dan mencederakan suami mangsa di dada.

Mohd Zani berkata, suami mangsa kemudian melarikan diri dan meminta bantuan orang ramai di tingkat bawah asrama itu.

“Pemilik restoran yang juga majikan mangsa kemudian mengunci pagar besi asrama itu menyebabkan suspek terperangkap di dalam asrama berkenaan.

“Dia kemudian menghubungi polis sebelum suspek ditahan dan dibawa ke Balai Polis Petaling Jaya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dia berkata, suami mangsa yang cedera turut dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan.

Mohd Zani berkata, suspek kini ditahan reman tujuh hari sehingga 9 Oktober ini untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.







http://projekmssp.blogspot.my/2015/10/untuk-30-terawal-sahaja-sebelum-projek.html
0 Komentar untuk "akibat cinta ditolak lelaki sanggup tikam kekasih sehingga maut"

 
Copyright © 2014 Wana Viral - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info